Anwar ucap takziah kepada Erdogan

0
3
anwar ibrahim

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan takziah dan doa kepada Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan susulan tragedi gempa bumi di negara itu Isnin lalu.

Menurut ciapan dalam Twitternya hari ini, Anwar memaklumkan beliau telah berhubung dengan Presiden Turkiye sejurus tiba dari Bangkok, Thailand selepas lawatan rasminya ke negara jiran itu.

“Sejurus tiba dari Bangkok semalam, saya sempat bercakap dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan untuk sampaikan ucapan dan doa atas tragedi bencana gempa yang menimpa Turkiye.

“Kerajaan Malaysia telah mengutus dua Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta membina satu ‘field hospital’, selain rakyat yang turut mengumpul dana bagi membantu saudara di sana,” ciapnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri memaklumkan Malaysia akan menyalurkan sumbangan lebih AS$2 juta kepada Turkiye dan Syria bagi membantu mangsa gempa bumi di kedua-dua negara itu.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga telah mengatur gerak petugas dan kelengkapan Hospital Medan Malaysia (HMM) Tahap Tiga ke Turkiye untuk tempoh enam minggu bagi memberi bantuan kemanusiaan.

Gempa bumi kuat berukuran 7.8 pada skala Richter melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria telah meragut lebih 23,000 nyawa. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here