TIMBALAN Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy diingatkan supaya tidak bermain api atau menjolok sarang tebuan dengan sengaja menimbulkan isu monopoli orang Melayu dalam perkhidmatan awam.
Setiausaha Pemuda Umno, Datuk Hasmuni Hassan turut menegur Ramasamy supaya tidak menghina orang Melayu hanya disebabkan perasaan prejudis beliau terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ramasamy jangan menghina orang Melayu seolah-olah mereka ‘tidak boleh pergi jauh’ dan hanya bergantung bekerja dengan kerajaan semata-mata.
“Isu ini tidak perlu disebut-sebut lagi pun kerana orang Melayu bekerja dengan kerajaan disebabkan rasa tanggungjawab, kesetiaan dan kredibiliti mereka dalam pekerjaan tersebut.
“Mereka memasuki perkhidmatan awam dengan kredibiliti mereka, melalui proses saringan yang terbuka dan standard,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ramasamy yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang yang menggesa Perdana Menteri supaya memecah monopoli orang Melayu dalam perkhidmatan awam.
Ramasamy mendakwa monopoli orang Melayu dalam perkhidmatan awam adalah ‘dasar Mahathirisme’ kononnya untuk mengimbangi penguasaan orang Cina dalam ekonomi melalui kemasukan pelabur asing dan pertumbuhan syarikat berkaitan kerajaan.
Jelas Hasmuni, orang bukan Melayu tidak berminat dengan perkhidmatan awam kerana mereka memikirkan skim gaji yang kecil.
Katanya, orang Melayu pula sanggup berkhidmat dengan kerajaan atas semangat patriotisme dan memastikan agar negara dapat ditadbir dengan baik.
“Tidak ada diskriminasi kepada mana-mana kaum untuk menyertai perkhidmatan awam kerana jawatannya ditawarkan secara terbuka dan pemilihannya dibuat dengan saringan yang memenuhi piawai dan kehendak pekerjaan itu sendiri,” katanya.
Tegasnya, Ramasamy mungkin takut dengan bayang-bayang sendiri atau tidak yakin dengan Anwar disebabkan konsep Malaysia Madani yang membangkitkan semangat kebangsaan yang sejati.
“Kita (orang Melayu) bermain di padang yang rata,” katanya. – Malaysiapost

