Fitri Nizam
MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) memandang serius insiden 207 pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuala Klawang, Negeri Sembilan mengalami keracunan makanan hari ini.
Agensi itu dalam satu kenyataannya berkata, siasatan terperinci sedang dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden berkenaan.
Menurutnya, empat pelajar terpaksa dimasukkan ke Hospital Jelebu akibat dehidrasi dan cirit-birit.
Katanya, keempat-empat pelajar berkenaan berada dalam keadaan stabil namun sedang dipantau pasukan perubatan.
“Tindakan segera telah diambil oleh pihak pengurusan MRSM dengan menghantar pelajar yang terlibat ke Klinik Kesihatan Jelebu bagi mendapatkan rawatan segera.
“MARA sedang menyiasat secara rapi insiden ini untuk mengenal pasti dengan tepat punca keracunan makanan itu berlaku,” katanya.
Menurut kenyataan itu, MARA tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pembekal makanan bermasak jika terbukti kecuaian itu berpunca daripada pihak mereka.
“Pihak MARA juga mengikuti arahan Pejabat Kesihatan Daerah Jelebu untuk menutup Dewan Selera MRSM Kuala Klawang selama dua minggu bagi proses pembersihan dan siasatan selanjutnya.
“Bagi memastikan kebajikan dan keperluan pelajar dapat dipenuhi sepanjang tempoh penggantungan ini, perkhidmatan penyediaan makanan sementara akan dilaksana oleh pembekal perkhidmatan makanan bermasak yang lain,” katanya.
MARA turut meminta pihak ibu tidak bimbang dan sentiasa menghubungi pihak pengurusan MRSM untuk mendapatkan maklumat lanjut.
“Sehingga kini, MARA dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah terus memantau secara berterusan bagi memastikan keadaan kesihatan dan kebajikan para pelajar terus diberi perhatian dan dalam keadaan terkawal,” katanya. – Malaysiapost

