RISDA perlu ada data industri getah yang lengkap – Ahmad Zahid

0
3

PIHAK Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) kini berdepan cabaran yang besar bagi memastikan punca pendapatan 552,543 pekebun kecil yang bergantung kepada tanaman getah dapat terus dipertingkatkan.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata antara cabaran yang dihadapi termasuklah isu kekerapan taburan hujan, ketidakstabilan harga, kekurangan tenaga kerja serta persaingan komoditi-komoditi yang lain.

“Namun, getah masih menjadi komoditi penting dalam pembangunan negara, begitu juga peranan RISDA yang menyelarasnya.

“Justeru, saya telah menyarankan agar RISDA antara lainnya perlulah memastikan ketersediaan data industri getah yang lengkap dan kaedah analisis ekonomi yang efektif bagi menghasilkan sebuah perancangan strategik organisasi yang mapan,” katanya.

Terdahulu beliau menghadiri mesyuarat bersama pengurusan dan kepimpinan tertinggi RISDA bagi mendengar taklimat gerak kerja dan pembangunan agensi berkenaan.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata beliau juga melihat terdapat cabang-cabang baharu yang boleh diterokai menerusi kerjasama pintar dengan syarikat-syarikat perabot.

“Contohnya dengan perkembangan teknologi yang kian pesat, saya melihat sektor perabot berasaskan kayu getah juga mempunyai potensi yang amat besar untuk dipelopori RISDA, RISDA Holdings dan anak-anak syarikat di bawahnya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here