Masjid, surau seliaan Jakim dan Jawi adakan solat hajat esok

0
3
Orang ramai hadir di Masjid Wilayah Persekutuan untuk menunaikan solat Jumaat dengan penjarakkan 1.5 meter ketika tinjauan Malaysiapost hari ini.

MASJID-masjid seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diarah mengadakan solat hajat esok dan memohon doa kesejahteraan bagi rakyat Turkiye dan Syria yang dilanda gempa bumi hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata pihaknya mengarahkan perkara itu susulan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, untuk tujuan mendoakan kesejahteraan buat negara Turkiye dan Syria, saya telah mengarahkan masjid seliaan Jakim mengadakan solat hajat dan memohon doa kesejahteraan, selepas solat Maghrib esok.

“Masjid-masjid berkenaan adalah Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

“Begitu juga seluruh masjid dan surau seliaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) adalah diminta melaksanakan Solat Hajat dan memohon doa kesejahteraan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga mengucapkan takziah dan doa kepada Kerajaan dan seluruh rakyat Turkiye dan Syria, yang terlibat dalam tragedi itu.

“Saya berasa dukacita mengikuti perkembangan tragedi gempa bumi yang tragis di bumi Turkiye dan Syria pada pagi tadi.

“Semoga Allah mempermudahkan segala urusan dan operasi menyelamatkan mangsa. Marilah kita berdoa agar kesemua mangsa bersama ahli keluarga diberikan kesabaran,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here