Sukar rungkai rasuah, penyalahgunaan kuasa di Malaysia – Anwar

0
3

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merayu kepada masyarakat supaya memberikan kerjasama dan sokongan terhadap langkah-langkah dilakukan kerajaan terutama dalam isu pengurusan tatakelola kerajaan yang baik.

Menurutnya, Kerajaan Perpaduan pimpinannya mula dengan tekad yang sangat jelas iaitu menghentikan penyalahgunaan kuasa dan rasuah serta mahu langkah itu berkesan demi menyelamatkan negara.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden PKR, berkata tekad itu adalah merentas parti, kaum dan wilayah.

“Negara ini diambang kerosakan kerana keterlanjuran dan rasuah sudah menjadi sebahagian daripada sistem yang kita sebut sistemik yang tidak mudah dirungkai.

“Percayalah selepas beberapa bulan dalam kerajaan, saya lebih yakin bahawa masalah ini memang rumit dan sukar dirungkai.

“Oleh itu pemimpin-pemimpin politik janganlah guna alasan agama, alasan kaum untuk mempertikai kehendakan membanteras rasuah,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Beliau merujuk kepada tindakan pembekuan akaun bank Bersatu serta siasatan terhadap beberapa pihak lain oleh agensi penguatkuasaan ketika ini.

Menurutnya, soal pembekuan akaun parti politik bukanlah perkara baharu, ia tindakan sama terhadap akaun parti Umno dibekukan sebelum ini.

“Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden Bersatu) memberi sokongan (ketika itu) yang kuat mempertahankan tugas dan profesionalisme Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Sekarang pembekuan itu dilakukan terhadap akaun Bersatu kerana jumlahnya besar dan dikaitkan juga dengan beberapa keputusan kerajaan dibawah pimpinan beliau,” jelasnya.

Anwar berkata, sepatutnya Bersatu bersiap untuk berikan penjelasan mana yang perlu dan tidak mengganggu badan penguatkuasaan sama ada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau SPRM.

Beliau berkata, sekiranya ada pendakwaan kelak, badan kehakiman perlu dibiarkan bertindak secara bebas.

“Saya buat seruan ini kerana saya lihat kadang-kadang digunakan alasan agama yang remeh. Mana mungkin mana-mana agama digunakan untuk mempertahankan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Apalagi agama Islam yang tegas menolak penyalahgunaan kuasa dan fasad (kerosakan) dalam sistem yang berpunca terutamanya daripada rasuah yang bermaharajalela di negara kita,” katanya.

Beliau berkata, tidak perlu menekankan hal berkenaan berulang kali sebaliknya semua pihak perlu beri ruang kepada badan-badan penguatkuasaan ini bertindak dengan tegas.

“Kalau bersih tidak rasuah usah takut. Semua war-war kita ini parti yang bersih dan mewujudkan kerajaan yang bersih.

“Sepatutnya kita sokong semua…bagaimana harus kita bersihkan kalau tidak kita berikan wenang dan kuasa yang lebih kepada badan penguatkuasaan untuk menjalankan dan menyempurnakan tugas mereka,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here