SMART bantu SAR mangsa gempa di Turkiye

0
2

MALAYSIA akan menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Turkiye, bagi membantu usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di selatan negara itu, malam ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata proses penghantaran pasukan SMART itu dibuat selepas mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, penghantaran pasukan berkenaan juga dibuat selepas menerima pengesahan keperluan bantuan daripada Kerajaan Turkiye.

“Sehubungan itu, seramai 75 anggota akan digerakkan ke Turkiye malam ini menerusi penerbangan Tukish Airline dengan membawa bersama peralatan-peralatan yang akan digunakan dalam operasi SAR.

“Pasukan SMART menerima pengiktirafan Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG) pada 2016 yang membolehkan pasukan ini dihantar untuk menyertai misi bencana di luar negara,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Media hari ini melaporkan, pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (Afad) Turkiye memaklumkan satu gempa bumi kuat berukuran 7.8 magnitud berlaku pada 4.17 pagi (waktu tempatan) berpusat di daerah Pazarcik.

Gegaran gempa berlaku pada kedalaman tujuh kilometer turut dirasai di wilayah lain termasuk Diyarbakir dan Gaziantep serta negara jiran termasuk Lubnan dan Syria.

Gempa bumi itu mengorbankan lebih 200 orang dan mencederakan lebih 600 yang lain di Syria dan jumlah mangsa meningkat kepada 237 terbunuh dan 639 cedera. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here