Covid-19: 86 kluster aktif, 28 catat kes baharu

0
2

Fitri Nizam

SEBANYAK 86 kluster masih lagi aktif di seluruh negara namun hanya 28 kluster mencatatkan peningkatan kes hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata 28 kluster itu termasuk satu yang baharu dikesan hari ini iaitu Kluster Kertang di daerah Kota Belud, Sabah.

Antara kluster yang masih mencatatkan kes baharu hari ini adalah Penjara Kepayan (231), Hentian (42), Benteng LD (12), Auto (12) dan Bah Sintok (11).

“Selain itu, kluster yang masih mencatatkan kes hari ini adalah Buntar (10), Utama (9), Jalan Bomba (9), Menara (8), Bah Manggis (7), Alma (7), Tembok (4), Ramai-Ramai (4), Sungai Way (2), Simera (2), Saguking (2), Keladi (2) dan Merbok (2).

“Sementara itu, kluster Tujuh Serangkai, Benteng PK, Bah Tropicana, Tanamera, Bestari, Kencana, Tasik, Olive dan Buang Sayang masing-masing mencatatkan satu kes hari ini,” katanya pada sidang media hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, penularan wabak Covid-19 di Selangor menunjukkan peningkatan secara konsisten bermula 2 Oktober lalu sehingga hari ini.

Beliau berkata, sejumlah 26 kluster aktif dicatatkan di Selangor bermula kluster pertama iaitu Kluster Jalan Apas sehingga terbaharu Kluster Hentian.

“Sebanyak 18 kluster aktif (69.2 peratus) adalah kluster jangkitan tempatan, manakala lapan (8) kluster (30.8 peratus) adalah mempunyai perkaitan dengan pengembara pulang dari Sabah.

“Enam kluster terbaru yang dilaporkan sejak 11 Oktober 2020 adalah berkaitan dengan jangkitan tempatan.

“Sembilan dari 26 kluster mempunyai kaitan yang amat rapat dengan perebakan di tempat kerja (34.6 peratus) manakala satu kluster dikaitkan dengan tempat membeli belah awam (3.8 peratus),” katanya.

Beliau berkata, situasi ini berikutan kepadatan penduduk dan kadar pergerakan yang tinggi di kalangan penduduk dan pengunjung di negeri Selangor. -Malaysiapost