SEEKOR Tapir betina yang cedera selepas terkena jerat di Kampung Hulu Retang, Jerantut, Pahang, berjaya diselamatkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Menerusi kenyataan di Facebook rasmi Jabatan (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, memaklumkan haiwan itu diselamatkan dalam operasi pada 17 Oktober lalu, selepas menerima aduan dari penduduk kampung berkenaan.
Katanya, pemeriksaan awal mendapati tapir tersebut berada dalam keadaan lemah dan terdapat luka terkena jerat di bahagian kaki kirinya.
“Tapir tersebut diberi rawatan awal oleh Pegawai Veterinar Jabatan Perhilitan dan Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) Jenderak Selatan, Pahang.
“Kemudian, haiwan itu dipindahkan ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai, Perak untuk tujuan rawatan dan pemantauan lanjut,” katanya.
Tapir di Malaysia dikenali sebagai Tapir Malaya (Tapirus Indicus) mempunyai warna fizikal luar hitam dan putih.
Haiwan ini adalah hidupan liar yang dilindungi sepenuh di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Sebelum ini seekor gajah betina dilaporkan cedera akibat terkena jerat di Kampung Renyuk, Jeli, Kelantan. -Malaysiapost.

