
Fitri Nizam
MUAFAKAT Nasional (MN) tidak mengetepikan penyertaan parti Bersatu bagi mendaftarkan gabungan itu secara rasmi, kata Setiausaha Agung MN I, Tan Sri Annuar Musa.
Justeru, Ahli Parlimen Ketereh itu meminta semua pihak tidak membuat andaian berhubung keputusan yang dibuat Umno dan PAS dalam mendaftarkan gabungan itu secara rasmi.
“Tidak benar. Jangan mudah membuat andaian,” katanya menerusi ciapan di Twitter sambil merujuk satu tajuk artikel portal berita yang mendakwa Bersatu diketepikan dalam cadangan pendaftaran baharu MN itu.
Dalam satu kenyataan pagi tadi, Annuar dan Setiausaha Agung MN II, Datuk Takiyuddin Hassan memaklumkan bahawa kepemimpinan Umno dan PAS bersetuju mendaftarkan MN secara rasmi dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Dalam kenyataan itu, kepemimpinan MN sudah bersepakat secara bersama serta memberi komitmen untuk terus memperkukuhkan perpaduan dan kerjasama antara parti sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Cadangan untuk menjadikan MN sebagai gabungan rasmi yang didaftarkan dengan ROS sebelum ini diputuskan oleh biro politik Umno, dalam usaha mempersiapkan parti itu mendepani PRU akan datang. -Malaysiapost
