Sesi persekolahan bermula 8 pagi bukan keutamaan KPM setakat ini – Fadhlina

0
4
Pelajar tingkatan 5 hadir ke Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tasik Puteri sebagai permulaan sekolah hari ini. Pelajar calon peperiksaan utama 2020 memulakan sesi persekolahan secara bersemuka hari ini dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) belum membuat sebarang ketetapan berhubung cadangan sesi persekolahan di Semenanjung dianjakkan kepada pukul 8 pagi, kata Menterinya, Fadhlina Sidek.

Fadhlina berkata masih terdapat banyak isu lain yang perlu diutamakan, namun beliau memberi jaminan pandangan itu tetap akan diberi perhatian.

“Kita mendengar tapi pastinya kita juga nak dengar pandangan daripada ibu bapa dan semua pemegang taruh pendidikan. Pandangan itu kita ambil tapi kita juga harus lihat keseluruhan pandangan.

“Yang saya pasti, pandangan-pandangan itu kita ambil kira. Cuma hari ini tiada ketetapan yang kita buat berkaitan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Seminar Perdana Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) di Kuala Lumpur, semalam.

Fadhlina berkata, KPM memberi jaminan kementerian sedang meneliti isu tawaran guru sandaran bagi memenuhi keperluan dalam kementerian itu.

“Ia sebenarnya berkait rapat dengan satu isu lebih besar iaitu kekurangan guru yang selama ini jadi isu yang melibatkan kepentingan murid.

“Kita tahu, kekurangan guru akan beri kesan yang cukup besar. Dalam komitmen KPM, saya dah maklumkan sebelum ini di Sarawak, 50 peratus penempatan guru akan disiapkan sebelum Mac, sebelum pembukaan sekolah.

“Manakala negeri-negeri lain, kita akan uruskan dengan segera,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau berkata beberapa status berkaitan guru sandaran dan KPM akan meneliti semuanya dalam usaha menyelesaikan isu kekurangan guru.

Dalam masa sama, Fadhlina berkata NUTP terus menjadi rakan strategik KPM dengan melakukan proses semak dan imbang terhadap setiap dasar serta penambahbaikan dalam sektor pendidikan yang telah dan akan dilaksanakan kementerian. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here