DUA pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Tasek Gelugor dan Jawi, Georgetown bagi menempatkan mangsa banjir susulan hujan lebat semalam.
Exco Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, PPS pertama dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Bakap Indah, Sungai Jawi pada jam 10 malam.
Katanya, PPS kedua dibuka di Dewan Komuniti Kubang Menerong, Tasek Gelugor pada jam 11 malam.
Tambah beliau, kedua-kedua PPS dibuka bagi menempatkan 59 mangsa yang terdiri daripada 17 keluarga.
“PPS di SK Bakap Indah, sehingga jam 2 pagi tadi menempatkan lapan keluarga terdiri 13 orang dewasa, lapan kanak-kanak serta tiga warga emas menjadikan jumlah keseluruhan adalah 21 orang.
“Di Dewan Komuniti Kubang Menerong pula, sehingga jam 12 tengah malam, sembilan keluarga dipindahkan melibatkan 38 orang. Mereka adalah 19 dewasa, 11 kanak-kanak dan lapan warga emas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Boon Pooh berkata, setakat pagi ini, hanya dua PPS dibuka dan maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Ujarnya, kesemua mangsa berada dalam keadaan baik dan dipantau oleh petugas PPS di kedua-dua lokasi berkenaan.
Terdahulu, beberapa kawasan di Seberang Perai dinaiki air selepas hujan lebat berterusan sejak jam 4 petang, semalam.
Antara kawasan yang dinaiki adalah Jalan Sungai Baong, Jalan Sungai Duri, Relau dan Sungai Bakap dalam daerah Seberang Perai Selatan.
Selain itu, beberapa kawasan dalam daerah Seberang Perai Utara juga dilanda banjir kilat antaranya Bertam dan Tasek Gelugor. – Malaysiapost

