Menu Rahmah diperluas ke Sabah, Sarawak – Bos Mydin

0
3

INISIATIF Menu Rahmah RM5 akan diperluaskan di Sabah dan Sarawak dalam semangat ‘Satu Malaysia’.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin, berkata program itu diperlukan di negeri yang kos barangannya lebih tinggi daripada di Semenanjung.

“Harga Mydin di sana juga lebih tinggi. Tetapi Menu Rahmah berjiwa Satu Malaysia.

“Kami berhasrat untuk menyediakannya di sana. Saya rasa hari ini atau esok, bermula di Sandakan, Sabah, manakala di Kuching, Sarawak, kami mempunyai dua cawangan. Harganya sama sahaja iaitu RM4.90.

“Ini supaya rakyat Sabah dan Sarawak tidak akan berasa terpinggir,” katanya dalam temubual sebuah stesen radio, hari ini.

Mengulas lanjut, Ameer berkata, idea Menu Rahmah tercetus selepas peniaga restoran tidak bersetuju dengan saranan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli supaya pengguna memboikot kedai makan yang gagal menurunkan harga walaupun kos bahan mentah lebih murah.

Katanya, selepas peniaga menyatakan kebimbangan, kerajaan kemudiannya mengadakan sesi pertemuan dengan mereka diketuai oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub.

“Salahuddin mengadakan pertemuan dengan kami, Presma (Persatuan Pemilik Restoran Muslim Malaysia), Persatuan Pemilik Tomyam Malaysia dan peniaga lain, dan kami memberitahunya cabaran dihadapi kami.

“Beliau kata tidak akan memaksa kami menurunkan harga tetapi meminta kami (jalan) penyelesaian untuk membantu rakyat Malaysia yang kurang berkemampuan mendapatkan makanan yang lebih murah,” katanya.

Program Menu Rahmah dilancarkan pada 31 Januari bertujuan memastikan golongan B40 khususnya mampu membeli makanan di restoran pada harga yang berpatutan.

Lebih 15,000 restoran menawarkan Menu Rahmah berharga RM5 bagi hidangan makanan tengah hari atau makan malam untuk golongan B40. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here