STAF Penjara Pokok Sena kini menjadi antara barisan hadapan bagi mengawal banduan positif Covid-19 yang dirawat di pusat tahanan berkenaan, kata Pengarahnya, Jamil Razif Kassim.
Beliau berkata, kakitangannya terpaksa berada di kawasan penjara 24 jam bagi memastikan tahap keselamatan penjara yang mempunyai 3,420 banduan itu terjamin.
Katanya, moral dalam kalangan kakitangannya adalah tinggi ketika ini, walaupun mereka terpaksa bertugas dalam keadaan tertekan dan memakai pakaian pelindung diri (PPE).
“Ketika ini, kakitangan penjara bertugas dalam keadaan tekanan tinggi dan perlu mematuhi norma baharu berbanding dahulu mereka hanya bertugas selama lapan jam sahaja.
“Kakitangan perlu memakai PPE dan bertugas tiga ke empat jam dan berehat sebentar sebelum kembali menyambung tugas selama empat jam lagi, mereka juga perlu berada di dalam penjara 24 jam,” katanya seperti dilapor BH.
Sehingga semalam, seramai 111 banduan Penjara Pokok Sena disahkan positif, manakala 17 kakitangan dan keluarga turut dijangkiti wabak Covid-19. -Malaysiapost

