DUA selebriti terkenal yang terbabit dalam bidang lakonan dan pengacaraan dijangka dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung aktiviti pengubahan wang haram oleh sindiket Macau Scam dan perjudian dalam talian.
Artis lelaki dan wanita itu akan dipanggil memberi keterangan di pejabat SPRM selepas tiada artis diminta tampil memberi keterangan secara sukarela.
Menurut sumber, dua individu terbabit menjalankan perniagaan dan mempunyai lebih 1 juta pengikut di laman sosial.
“SPRM sudah memberi tempoh masa kepada individu terbabit untuk tampil, namun mereka berdua termasuk individu lain yang dipercayai ada kaitan dengan sindiket ini gagal hadir memberi keterangan.
“Susulan itu, SPRM akan memanggil mereka dalam masa terdekat untuk membantu siasatan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Sumber berkata, walaupun sebelum ini SPRM meminta individu pernah menerima wang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan cuci wang oleh sindiket Macau Scam dan judi dalam talian untuk tampil, belum ada berbuat demikian. -Malaysiapost

