POLIS Diraja Malaysia (PDRM) digesa mengambil tindakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pelek, Ronnie Liu Thian Khiew yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan.
Setiausaha Agung Armada Malayu Malaysia, Nazri Che Arr, berkata pihaknya merasakan kenyataan Adun DAP itu berbaur hasutan kepada institusi Raja-Raja Melayu.
Justeru, beliau berkata, Armada Malayu selaku badan bukan kerajaan (NGO) terpanggil membuat laporan polis berhubung kenyataan berkenaan supaya siasatan dapat dijalankan.
“Sekiranya wujud hantaran ini apa tujuan kamu? Kamu selaku wakil rakyat kepada Raja-Raja.. adakah kamu cuba menghasut supaya rakyat membenci Raja-Raja Melayu selaku payung negara?
“Kami merasakan ada unsur hasutan kepada institusi Raja dan Yang di-Pertuan Agong.
“Niat kami membuat laporan ini adalah untuk menjaga dan menghindarkan mana-mana pihak khususnya ahli politik daripada menggunakan pengaruh mereka untuk menghasut rakyat membenci Raja-Raja Melayu,” katanya pada sidang media hari ini.
Pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) itu dipercayai merujuk kepada hantaran terbaru Adun Sungai Pelek, Ronnie Liu Thian Khiew di Facebook miliknya Sabtu lalu.
Antara kandungan hantaran Facebook milik Ronnie Liu itu ‘Now in Bangkok. They are saying No to the King’ (Kini di Bangkok, mereka mengatakan tidak kepada Raja).
Ronnie Liu turut memuat naik tiga foto suasana demonstrasi yang berlaku di Thailand. – Malaysiapost
Kredit Foto: Tangkap layar dari video Malaysia Gazette

