INSTITUT Hal Ehwal Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) turut menyuarakan bantahan terhadap pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Badan pemikir itu berkata, walaupun Nurul Izzah memiliki kelayakan berdasarkan latar belakang akademik dan pengalaman dalam politik, tetap ada tanggapan bahawa beliau dilantik atas kedudukannya sebagai anak Anwar.
“Nurul Izzah sangat kompeten dan layak, mengambil kira pengalamannya sebagai ahli parlimen selama tiga penggal dan memiliki ijazah sarjana dasar awam dari universiti luar negara ternama.
“(Namun) pelantikan yang dibuat dengan cara ini adalah tidak produktif dan boleh membawa kepada persoalan berkaitan nepotisme, konflik kepentingan dan malah terhadap keputusan dasar awam yang akan dibuat oleh pentadbiran.
“Ia juga boleh menjadi duluan kepada pelantikan ahli keluarga yang lain, yang boleh terus menjejaskan reputasi kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ideas turut menggesa kerajaan agar lebih telus dalam melantik penasihat, dan menegaskan reaksi bercampur terhadap pelantikan Nurul Izzah tidak mengejutkan memandangkan Pakatan Harapan (PH) sentiasa berjuang ke arah tadbir urus yang baik.
“Ideas berharap walaupun ia bermasalah, pelantikan ini akhirnya adalah untuk kepentingan rakyat dan Nurul Izzah akan bekerja bersama kementerian yang berkaitan untuk mencapai reformasi yang sangat diperlukan negara.
“Ia termasuklah menangani isu struktur ekonomi yang sekian lama menjadi masalah negara, seperti cabaran perlindungan sosial, fiskal, pembaharuan cukai dan daya saing industri,” katanya.
Nurul Izzah sebelum ini dilaporkan dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada bapanya.
Pelantikan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh bagi jawatan berkenaan, berkuat kuasa 3 Januari lalu. – Malaysiapost

