Malaysia kutuk serangan bom di Masjid Peshawar

0
2

MALAYSIA mengecam sekeras-kerasnya serangan bom bunuh diri ke atas sebuah masjid di Police Lines, Peshawar di wilayah Khyber Pakhtunkhwa (KPK), Pakistan, kelmarin.

Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini, menzahirkan ucapan takziah dan simpati Malaysia kepada keluarga mangsa, rakyat dan kerajaan Pakistan.

Malaysia juga mengulangi pendirian menolak sebarang tindakan keganasan dalam semua bentuk dan manifestasi.

“Kami teguh bersolidariti bersama saudara dan saudari rakyat Pakistan dalam memerangi ancaman keganasan dan kami menyeru agar pelaku jenayah kejam ini dibawa ke muka pengadilan,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra memaklumkan, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad akan terus memantau dengan teliti perkembangan terkini insiden berkenaan di samping berhubung dengan pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan maklumat terkini.

“Suruhanjaya Tinggi turut menasihatkan rakyat Malaysia di Pakistan supaya sentiasa berwaspada.

“Orang ramai yang memerlukan sebarang bantuan, boleh menghubungi Suruhanjaya Tunggu Malaysia di Islamabad di talian (+92 5120 2900) atau e-mel [email protected],” katanya.

Terdahulu media melaporkan, angka kematian akibat insiden pengeboman pada Isnin itu meningkat kepada 100 nyawa susulan lebih banyak mayat ditemukan di bawah runtuhan masjid berkenaan semalam.

Pengebom berani mati itu disyaki menyasarkan anggota polis wilayah Khyber Pakhtunkhwa.

Lebih 220 jemaah turut dilaporkan cedera dalam letupan itu, dan kebanyakan mangsa adalah anggota polis. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here