
KEDUDUKAN terbaharu Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia yang terus merosot untuk tempoh tiga tahun berturut-turut perlu dipandang serius semua pihak.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata data itu menunjukkan sedang menuju ke arah yang salah dalam melawan rasuah
“Score CPI kita jatuh lagi! Dah tiga tahun berturut-turut CPI negara kita jatuh, skor terkini cuma 47 daripada 100 mata!
“Kedudukan kita untuk tahun 2022 cuma berada di tangga ke-61,” katanya menerusi Facebook.
Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu berkata, perkara itu perlu diambil perhatian sekiranya tidak mahu negara terus malu di mata dunia.
“Ambil serius berperang dengan budaya rasuah, kuatkan hak asasi dan demokrasi negara kita kalau kita tidak mahu terus malu di mata dunia. Kita perlu perangi rasuah,” katanya.
Terdahulu, skor Malaysia dalam CPI ,Transparency International (TI) jatuh untuk tiga tahun berturut-turut dengan mata 47 daripada 100.
Pada 2021 Malaysia mendapat 48 mata, pada 2020 dengan 51 mata dan pada 2019 dengan 53 mata. Ini menunjukkan Malaysia jatuh enam mata pada tahun lepas.
Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan berkata, markah dan pangkat CPI Malaysia itu jelas menunjukkan negara langsung tidak mencapai kemajuan yang diharapkan. – Malaysiapost
