Denda hingga RM1 juta, penjara 15 tahun jika seludup haiwan liar

0
2
foto kredit: WIKIPEDIA

MULAI hari ini, mereka yang didapati menyimpan, memburu dan menyeludup hidupan liar boleh dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara 15 tahun, jika sabit kesalahan.

Ia susulan penguatkuasaan sebanyak 44 seksyen bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 (Akta A1646) yang dikuatkuasakan pada 1 Februari 2023.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam satu kenyataan berkata, penalti bagi kesalahan menyeludup hidupan liar perlu ditingkatkan kerana kegiatan haram itu adalah kesalahan serius yang menyebabkan hidupan liar terancam.

Malah, katanya, ia juga dikategorikan sebagai jenayah terancang berskala besar merentasi sempadan dan perlu dihentikan.

“Peningkatan penalti dan tempoh pemenjaraan bersifat mencegah bertujuan memastikan hidupan liar terus kekal bagi generasi akan datang,” menurut kenyataan itu.

Seiring penguatkuasaan Akta 716, Perhilitan bertekad meneruskan operasi penguatkuasaan bersepadu, iaitu ‘Biodiversity Protection and Patrolling Programme’ (BP3) di seluruh Semenanjung.

“BP3 sudah diperkukuh melalui pelantikan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (VAT), Orang Asli dan orang awam sebagai Renjer Hidupan Liar unyuk membantu melaksanakan operasi,” katanya.

Dalam pada itu, Perhilitan berharap Biro Jenayah Hidupan Liar (WCB) yang ditubuhkan di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun lalu, dapat membantu aktiviti penguatkuasaan Akta A1646. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here