Nurul Huda Abhar
SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menzahirkan rasa dukacita kerana kebanyakan ahli politik seolah-olah tidak mempedulikan kesusahan rakyat yang terkesan akibat Covid-19, ditambah dengan kedudukan ekonomi rakyat yang terjejas.
Baginda dalam kenyataan bertitah, ahli politik seharusnya bertanggungjawab memastikan penderitaan rakyat sentiasa menjadi keutamaan ketika melaksanakan amanah dan tanggungjawab sebagai pemimpin.
“Kesusahan dan penderitaan rakyat di dalam kehidupan seharian perlu segera ditangani dan diselesaikan dengan mengambil pendekatan yang drastik dan efektif,” titah baginda.
Oleh yang demikian, Sultan Selangor mahu semua pihak terutama ahli-ahli politik di negara ini, untuk sentiasa bekerjasama tanpa mengira pendirian parti masing-masing.
“Sentiasa fokus di dalam membantu rakyat dan negara menangani masalah penyebaran wabak Covid-19 dan membina semula ekonomi negara yang teruk terjejas,” titahnya.
Baginda turut menyatakan kebimbangannya berhubung kemelut politik negara yang dilihat tiada berkesudahan sehingga menimbulkan keresahan rakyat.
“Rakyat telah mula bosan dan meluat dengan segala tindak-tanduk ahli politik yang sentiasa dilihat bercakaran dan bertelingkah di dalam merebut kuasa pemerintahan negara,” titahnya – Malaysiapost

