Abd Rahim terus berkhidmat walaupun tewas PRU15

0
3

Ben Ibrahim

WALAUPUN tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak menghalang Datuk Abd Rahim Muda tewas tipis terus berkhidmat kepada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Lepar.

Menggunakan platform badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Anak Prihatin Gambang, Abd Rahim tidak pernah berhasrat untuk meninggalkan terus kawasan pernah diwakili selama satu penggal itu.

“Saya dah boleh terima keputusan PRU15 dan ia langsung tidak mematahkan semangat untuk terus menabur bakti di sini.

“Saya fikir ini peluang untuk lebih rapat dengan penduduk di sini dan memberikan bantuan sekadar termampu kepada mereka yang memerlukan,” katanya ketika ditemui di pusat komuniti Gambang.

Beliau pernah ‘berehat’ selama kira-kira enam bulan pada 2021 selepas terkena jangkitan kuman ketika mengharung air banjir.

Akibat penyakit itu, Abd Rahim terpaksa menjalani pembedahan dan rawatan fisioterapi pada bahagian kaki kiri.

Keadaan kesihatan beliau sudah bertambah baik dan kini masih meneruskan rawatan seperti biasa di sebuah hospital di Kuantan.

Pada PRU15 lalu, Abd Rahim berdepan cabaran empat penjuru menyaksikan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Yazid Mohd Yunus menang dengan majoriti 419 undi.

Beliau memperoleh 8,017 undi manakala Mohd Yazid mendapat 8,436 undi.

Dua lagi calon, Ibrohim Mazalan – Pakatan Harapan mendapat 3,166 undi dan calon Pejuang, Rosminahar Mohd Amin hilang deposit apabila hanya memperoleh 103 undi.

Sementara itu, mengulas mengenai NGO disertainya, Abd Rahim berkata antara aktiviti dijalankan ialah memberikan sumbangan kepada golongan B40 dan ibu tunggal selain menganjurkan program khatan perdana.

“Kami juga selalu turun padang memberikan bantuan setiap kali bencana berlaku di kawasan (DUN) Lepar dan bentuk bantuan itu adalah berdasarkan kemampuan kami sebagai NGO.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan negeri diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang sentiasa memberi sokongan kami, ” katanya.

Beliau sebelum ini adalah Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pahang dan memaklumkan penggantinya, Datuk Seri Johari Harun sentiasa berhubung bagi mendapatkan pandangan.

“Saya dah kenal lama Datuk (Seri) Johari, jadi apabila beliau menang dan dilantik sebagai Exco, kami berhubung macam biasa.

“Banyak perancangan kerajaan Pahang diumumkan sebelum ini, ketika saya masih Exco, diteruskan seperti program Rumah Rakyat Pahang, skim Rumah Makmur Pahang dan banyak lagi.

“Saya yakin beliau dapat menjalankan amanah diberikan dengan baik dan dapat membantu Datuk Seri Wan Rosdy yang ingin melihat lebih ramai rakyat Pahang memiliki rumah sendiri,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here