Gandingan Rafizi, Izzah: ‘Come on KJ, awak lebih bijak daripada ini’ – Dr Faiz

0
2

AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman berharap Khairy Jamaluddin tidak memilih untuk begandingan dengan Rafizi Ramli dan Nurul Izzah dalam meneruskan karier politik bekas Ketua Pemuda Umno itu.

Menerusi hantaran ringkas di Facebook, Dr Muhammad Faiz berpendapat pilihan berkenaan tidak tepat kerana kedua-dua pemimpin PKR itu didakwa bukan ‘aset’ bagi Khairy untuk mendapat sokongan rakyat.

“KJ pertimbang berganding dengan Rafizi dan Izzah? Dia fikir watak-watak orang itu aset sokongan rakyat ke?

“Bijak ekonomi sangat ke mereka? ‘Come on KJ, you’re smarter than this bro’ (ayuh KJ, kamu lebih bijak daripada ini kawan),” tulisnya.

Terdahulu, Khairy mengaku sudah dihubungi Perikatan Nasional (PN) serta Pakatan Harapan (PH) berhubung kemungkinan untuk beliau menyertai parti berkenaan selepas dipecat daripada Umno pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun, beliau enggan membuat keputusan terburu-buru, sebaliknya mahu mengambil masa selama beberapa minggu atau hingga dua tiga bulan sebelum menentukan sama ada memasuki parti sedia ada, menubuhkan parti baharu atau berehat daripada politik untuk seketika.

Antara pertimbangan bekas Ahli Parlimen Rembau itu ialah meneliti aspirasi dan hala tuju beberapa parti yang menjadi musuh politiknya selama ini, selain meneliti kemungkinan bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Ditanya sama ada turut mempertimbangkan kemungkinan bekerjasama dengan dua rakan baiknya, Rafizi dan Nurul Izzah dalam PKR pula, Khairy mengaku ada memikirkan perkara itu, namun ia bukan satu-satunya pilihan beliau ketika ini.

Beliau berkata, faktor persahabatan itu antara yang turut dipertimbangkan dalam memilih langkah seterusnya, namun Khairy memaklumkan turut memiliki sahabat baik dalam beberapa parti lain.

“Ya, saya tidak menolak pilihan ini. Namun, itu bukan satu-satunya pilihan yang ada, ada pilihan lain juga. Yang penting, apabila kita berjuang dalam politik, ia lebih daripada talian persahabatan,” kata Khairy. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here