Runtuhan jeti: KPM akan wajibkan pengguna jaket keselamatan, struktur jeti selamat

0
3

SUSULAN insiden jeti roboh di Kampung Papabag, Semporna, Sabah, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mewajibkan pemakaian jaket keselamatan untuk setiap murid dan guru

KPM juga katanya, akan pastikan keadaan struktur jeti yang selamat digunakan untuk setiap murid dan guru ke sekolah demi memastikan aspek keselamatan ditingkatkan.

Dalam kejadian yang berlaku 6.45 pagi itu, ia membabitkan sekitar 25 orang murid sekolah termasuk murid tabika KEMAS dan dua guru Sekolah Kebangsaan Pulau Papabag terjatuh ke dalam laut.

“KPM juga akan memohon pihak kerajaan tempatan untuk menyediakan laluan alternatif yang lebih selamat untuk murid, ibu bapa dan guru ke sekolah,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagi memastikan kejadian seumpanya tidak berulang, KPM juga akan mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh serta pihak berkuasa tempatan dalam waktu terdekat untuk membincangkan cadangan penambahbaikan infrastruktur di jeti sedia ada.

KPM berkata, laporan awal yang diperoleh dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Semporna mendapati insiden tersebut berlaku semasa murid sedang menaiki jeti di kampung untuk ke sekolah.

Akibat daripada runtuhan tersebut, katanya, dua orang murid cedera ringan, manakala mangsa lain dilaporkan selamat.

“KPM melalui PPD Semporna juga mengambil langkah dengan menyiasat punca kejadian dan menyediakan bantuan segera kepada semua mangsa yang terlibat,” katanya.

Terdahulu, Rakaman video itu tular di media sosial memaparkan murid yang lengkap berpakaian sekolah terjatuh ke dalam laut.

Bagaimanapun, tindakan pantas beberapa guru berjaya menyelamatkan lebih 20 murid Sekolah Kebangsaan Pulau Pababag, Semporna daripada lemas apabila jeti di Kampung Pulau Pababag, runtuh pagi tadi. – Malaysiapost.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here