MALAYSIA dan Singapura bersetuju mengadakan rundingan lebih terperinci terhadap langkah republik itu menambak kawasan sekitar Batu Puteh dalam masa terdekat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara itu dibangkitkan pada pertemuan bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong pada lawatan rasminya hari ini.
Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sudah menetapkan Batu Puteh adalah milik Singapura dan penambakan (di Batu Puteh) oleh Singapura dilakukan mereka mengikut keputusan perundangan yang sudah ditetapkan.
“Namun Malaysia meminta Singapura teliti semula kerana setiap tambakan memberi kesan sampingan kepada iklim, persekitaran dan persempadanan negara kita.
“Jadi saya dapat persetujuan Perdana Menteri Singapura supaya mendengar hujah kita dalam rundingan lanjut yang akan diadakan dalam masa terdekat,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Anwar kini dalam lawatan rasmi ke negara republik itu.
Katanya, penafsiran, penakrifan dan interprerasi serta persetujuan mengenai kerja penambakan itu sedang dibincang dan diperincikan.
Ia mengenai sejauh mana penambakan boleh dilakukan.
“Namun kita pastikan rundingan akan dilakukan secara baik antara dua negara sahabat,” katanya pada sidang media di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura.- Malaysiapost

