TINDAKAN pantas guru menyelamatkan murid sekolah rendah yang terjatuh ke dalam laut akibat sebuah jeti kayu roboh menerima pujian netizen di media sosial.
Kejadian tersebut tular di media sosial selepas dimuat naik di Facebook Deasoka, hari ini.
Video berdurasi satu minit 31 saat itu memaparkan murid sekolah rendah dan guru di Pulau Pababag, Semporna, Sabah terjatuh di dalam laut selepas jeti kayu yang usang itu roboh.
Guru yang ketika itu berdiri di atas bot bertindak terjun ke dalam air bagi menyelamatkan murid yang kelihatan cemas.
Turut kedengaran suara teriakan daripada murid-murid yang ketakutan, dan disusuli dengan suara guru yang menenangkan mereka agar tidak panik.
Semakan di ruangan komen mendapati warganet mengucapkan penghargaan kepada guru-guru yang sanggup terjun ke dalam air bagi menyelamatkan dan menenangkan murid yang terjatuh.
”Semoga semuanya selamat. Terima kasih cikgu sebab tolong selamatkan budak-budak sekolah rendah yang masih kecil. Terima kasih cikgu,” ujar Nuraini Snowy.
“Syukur semua yang terlibat selamat. Sedih tengok budak-budak ketakutan. Terima kasih buat guru-guru dan orang ramai yang berada di situ,” kata Petcyellesca Nianti.
Dalam masa sama, warga maya turut mengaitkan kejadian tersebut dengan tanggungjawab pihak berwajib khususnya wakil rakyat yang memandang enteng soal infrastruktur khususnya melibatkan keselamatan penduduk.
“Ahli Parlimen Semporna selama puluhan tahun tidak bikin apa kah? Kesian murid dan cikgu jadi mangsa. Tolong segera buka mata,” kata Rayyan Rifqi.
“Kesiannya tengok. Pihak berkuasa cepatlah bertindak utamakan keselamatan anak-anak kita,” kata Tamiah Tambrin.
Difahamkan, semua yang terlibat dalam kejadian tersebut selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan. – Malaysiapost

