Nurul Huda Abhar
PENCERAMAH bebas yang kini bergelar pelakon, Pencetus Ummah (PU) Azman kini beralih ke medium sosial media baharu iaitu TikTok.
Beliau yang mesra disapa Cik Man di kalangan pengikutnya di laman sosial mengambil peluang menggunakan TikTok untuk menyampaikan dakwah dalam medium tersebut.
“Post (hantaran) pertama di TikTok. Cecuber jer. Sesikit dulu.
“Ada orang cakap TikTok tempat tengok dedah aurat. Memang tak dinafikan. Dedah aurat ni tak payah tunggu TikTok. Dalam semua media sosial pun ada.
“Kau yang tentukan niat kau pergi sana. Dah kau mencari, memanglah dapat. Kau asyik terperangkap dengan persepsi, tapi kau sendiri tak ubah,” tulisnya di laman Instagram (IG), semalam.
Catatan Cik Man menerima komen-komen yang bersetuju dengan caranya berdakwah dan menyampaikan ilmu agama mengikut “trend” terkini.
Terdapat juga pengikutnya yang berpendapat bahawa Tiktok bukan hanya untuk melihat anak muda bergelek dan mendedahkan aurat, tetapi mempunyai banyak lagi input yang berguna untuk kehidupan seharian.
“Setuju, saya suka tengok TikTok sebab banyak pemandangan cantik-cantik yang mungkin saya tak dapat pergi tengok. Lepas itu, banyak kongsi tips-tips masakan,” kata Fatinnurfathiah.
“Insya-Allah, kalua niat kita baik, Allah akan permudahkan urusan,” tulis Idatul83.
Terdahulu, PU Azman melalui entri di IGnya pada Sabtu lalu mendapat kecaman hebat kerana memaklumkan telah mempunyai akaun TikTok.
Beliau menerima kritikan yang berpendapat laman TikTok hanya dipenuhi dengan video-video yang mencolok mata dan tidak bersesuaian untuk dijadikan platform penyebaran dakwah. -Malaysiapost

