Anwar lawat Singapura esok

0
2
Anwar Ibrahim

DATUK Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi sulungnya ke Singapura esok, selepas menyandang jawatan Perdana Menteri ke-10.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini, berkata lawatan rasmi itu atas jemputan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

Kedua-dua Perdana Menteri akan menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk mempromosi kerjasama dalam Data, Keselamatan Siber dan Ekonomi Digital serta dua kerangka kerjasama dalam Ekonomi Digital dan Ekonomi Hijau.

Anwar akan diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selain turut disertai Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.

Kenyataan itu memaklumkan, Premier Sarawak, Tan Sri Dr Abang Johari Abang Openg dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, akan turut menyertai delegasi Perdana Menteri itu.

Wisma Putra berkata, dalam lawatan rasmi itu, Perdana Menteri akan bertemu pemimpin Singapura termasuk Presiden, Halimah Yacob.

“Perdana Menteri akan turut mengadakan pertemuan dengan diaspora Malaysia di Singapura,” katanya.

Menurut kenyataan itu, lawatan rasmi berkenaan mencerminkan hubungan akrab antara Malaysia dan Singapura sebagai jiran rapat serta negara anggota ASEAN, termasuk jalinan antara rakyat yang erat serta hubungan ekonomi yang kukuh.

Katanya, ia akan memberi peluang kepada kedua-dua negara meneroka peluang kerjasama bagi meningkatkan lagi hubungan dua hala dan membincangkan isu serantau serta antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Singapura adalah rakan dagangan kedua terbesar Malaysia dan terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN tahun lalu, dengan jumlah perdagangan berjumlah RM367.53 bilion, peningkatan sebanyak 29.4 peratus berbanding jumlah dagangan pada 2021.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here