‘Saya tidak diberi peluang bela diri’ – Maulizan

0
3

KETUA Umno Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang mendakwa dirinya tidak dipanggil Lembaga Displin atau diberi peluang membela diri apabila dihukum gantung keahlian oleh parti selama enam tahun.

Bagaimanapun, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tiram itu reda dengan keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang dipengerusikan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, malam tadi.

“Saya reda walaupun saya sangat sayang parti yang banyak jasanya kepada agama, bangsa dan negara.

“Selama 42 tahun saya menjadi ahli dan saya bermula daripada peringkat cawangan dan bergiat dalam aktiviti kebajikan serta kemasyarakatan.

“Mungkin silap saya kerana kadang kala tidak sehaluan dengan Presiden. Tak apalah, mungkin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Terdahulu, Mesyuarat MKT Umno malam tadi membuat keputusan memecat keahlian bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Ahli MKT, Tan Sri Noh Omar.

Selain Maulizan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bersama Naib Ketua Pemuda Umno, Shahril Sufian dan Ketua Umno Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif di gantung keahlian enam tahun.

Sementara itu, Maulizan turut mendoakan agar Umno pulih semula dengan pemimpin dan kepimpinan yang diterima bukan sahaja ahli parti tetapi pengundi serta rakyat.

“Semoga Umno dapat kembalikan semula roh perjuangan yang berlandaskan asas penubuhan parti iaitu untuk menjaga agama, membela bangsa seperti yang termaktub dalam perlembagaan dan memajukan negara berbilang kaum yang tercinta ini.

“Saya mohon maaf kepada semua yang mengenali saya baik dalam parti atau pun di luar sekiranya sepanjang khidmat saya sebagai pemimpin kerdil ini terdapat sebarang kesalahan dan kesilapan yang tak disengajakan mahupun kekurangan yang ada pada diri saya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here