‘Pecat, gantung ahli bukan keputusan Presiden Umno’ – Puad

0
2

KEPUTUSAN Umno menggantung dan memecat ahlinya bukan tindakan ‘luar biasa’ sebaliknya menunjukkan keberanian parti, kata Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu berkata, pembersihan total seperti mana yang pernah disebuat Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah dilaksanakan dalam Mesyuarat MKT malam tadi.

Jelasnya lagi, ia bukan satu perkara yang mengejutkan kerana Umno perlu berani membuat tindakan sebagaimana kumpulan yang dipecat itu berani memfitnah parti.

“Bersatu juga memecat Tun M (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan (Datuk Seri) Mukhriz (Mahathir). PKR pula memecat (Datuk Seri) Azmin (Ali), Tian Chua dan (Datuk Seri) Zuraida (Kamaruddin). Tiada yang luar biasa.

“Luar biasa ialah tindakan KJ (Khairy Jamaluddin) menghentam parti dan Presiden semasa kempen PRU. Parti jadi kambing hitam kononnya untuk meraih undi.

“Lagi luar biasa tindakan (Datuk Seri) Hishamuddin (Hussein). Dia tidak serik membelakangkan parti. Bawa MP (Ahli Parlimen) Umno ke rumah Azmin Ali. Suruh Ketua Bahagian Sabah masuk Bersatu.

“Penggerak utama MP Barisan Nasional (BN) tanda tangan SD sokong (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) adalah Hishamuddin,” katanya menerusi Facebook.

Mengulas lanjut, Mohd Puad berkata, tindakan pecat dan gantung keahlian berkenaan diambil mengikut syor MKT selain menafikan bahawa ia adalah keputusan Ahmad Zahid.

“Cuma kali ini Presiden yang bawa syor tersebut pada MKT. Biasanya Pengerusi Jawatan Kuasa Pengurusan yang bawa syor Lembaga Disiplin,” katanya.

Selain itu, Mohd Puad turut mencadangkan supaya mereka yang dipecat itu membuat rayuan kepada parti sekiranya benar-benar sayangkan Umno.

“Dipecat amat menyakitkan tetapi keperluan. Kalau betul cintakan parti merayulah. Kalau tidak mahu merayu tunggulah enam tahun. Kecuali mereka sudah ada pilihan lain. Buatlah pilihan,” katanya.

Terdahulu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno malam tadi membuat keputusan memecat keahlian Khairy dan Noh Omar.

Selain itu, Hishammuddin bersama Naib Ketua Pemuda Umno, Shahril Sufian; Ketua Umno Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif dan Ketua Umno Bahagian Tebaru, Datuk Maulizan Bujang digantung enam tahun. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here