Dipecat daripada Umno, KJ kata belum terima sebarang surat

0
4

BEKAS Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mengakui masih belum menerima sebarang surat daripada Lembaga Disiplin Umno selepas beberapa ahli parti itu sudah menerima notis tersebut, baru-baru ini.

“Saya tak tahu, saya belum terima sebarang surat berhubung hal itu. Proses biasa adalah anda akan menerima surat daripada lembaga disiplin, namun belum ada apa-apa yang dihantar kepada saya.

“Bagaimanapun, saya sedar bahawa Majlis Kerja Tertinggi (Umno) sekarang suka dan mempunyai kecenderungan untuk hanya menggantung atau memecat orang secara sebelah pihak.

“Jadi saya tidak terkejut jika saya tidak dirujuk dan mereka bangkitkan isu saya serta rakan-rakan yang lain. Itulah yang berlaku kepada Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Tan Sri Annuar Musa,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kemungkinan Khairy akan dipecat daripada Umno susulan kenyataan terbukanya yang menyatakan matlamat untuk membersihkan Umno sekiranya berjaya memenangi kerusi Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Malah, Khairy juga mendakwa wujudnya ‘perwakilan import’ dalam pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 untuk menyokong usul tambahan tiada pertandingan bagi dua jawatan tertinggi Umno diluluskan.

Jawatankuasa Pengurusan Lembaga Disiplin Umno bermesyuarat kelmarin dipercayai membincangkan status keahlian Khairy dalam parti itu.

Bagaimanapun, sebarang keputusan hasil mesyuarat tertutup itu akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno malam ini.

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut mengesahkan perkara itu sambil meminta media menunggu keputusan mesyuarat malam ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here