TIADA sebarang fi dikenakan kepada anggota Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan (BPS) di bawah Seksyen 23, 24, 29 dan 31 Akta Profesion Guaman Syarie 2019 (Akta 814) bagi tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar, berkata tindakan itu diambil kerana pihaknya sangat prihatin dengan kebajikan Peguam Syarie dan melihat profesion itu masih belum pulih sepenuhnya pasca pandemik.
Beliau berkata, Akta 814 mula berkuat kuasa pada 21 Jun tahun lepas yang memperuntukkan fi dan caj boleh dikenakan ke atas anggota BPS.
“Ia termasuk yuran tahunan dan levi di bawah Seksyen 47 Akta 814 yang kena dibayar kepada Badan Peguam Syarie dan beberapa fi lain di bawah Seksyen 23, 24, 29 dan 31 Akta 814 yang kena dibayar kepada Ketua Pendaftar.
“Berhubung dengan fi yang kena dibayar di bawah seksyen 23, 24, 29 dan 31 Akta 814, peruntukan ini memberikan kuasa kepada saya selaku Menteri untuk menetapkan fi-fi yang berkenaan melalui kaedah-kaedah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, beliau mendapat maklum balas dan pandangan daripada Majlis Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan (MPSWP), Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dan Jabatan Peguam Negara berhubung isu fi dan caj berkenaan.
“Sehubungan dengan itu, saya berpandangan bahawa perlunya kajian lanjut dilaksanakan oleh pihak-pihak dengan mengambil kira amalan yang dilaksanakan oleh mahkamah sivil dan Majlis Peguam berhubung dengan pengurusan peguam bela dan peguam cara sebelum apa-apa ketetapan berhubung dengan pengenaan fi boleh dibuat.
“Perkara ini penting supaya sebarang keputusan berhubung dengan penetapan fi dapat dibuat dengan adil serta bebanan kepada mana-mana pihak dapat dielakkan,” katanya.
Mohd Na’im berkata, pihaknya dimaklumkan pada masa ini terdapat permohonan daripada Peguam Syarie untuk mendapatkan Perakuan Amalan Tahunan di bawah seksyen 29 Akta 814 yang memperuntukkan bahawa permohonan hendaklah disertakan dengan fi yang ditetapkan.
“Memandangkan kajian lanjut masih sedang dilaksanakan dan fi masih belum ditetapkan, dengan itu saya berhasrat untuk tidak menetapkan fi di bawah seksyen 23, 24, 29 dan 31 Akta 814 bagi tahun 2023.
“Bagi tahun 2024 dan seterusnya, perkara ini akan ditentukan setelah kajian lanjut tersebut dibuat serta perbincangan dengan pihak-pihak yang berkepentingan diadakan,” katanya. – Malaysiapost

