POLIS memanggil pembantu Ahli Parlimen Bentong Noor Suhana Ishak dan Setiausaha Akhbar Menteri Ekonomi Farhan Iqbal bagi membantu siasatan berkaitan hantaran di laman Twitter yang mendakwa Pemuda Umno mengganggu ceramah Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).
Noor Suhana berkata, mereka masing-masing dipanggil untuk dirakam keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul dan IPD Putrajaya, hari ini.
“Saya menerima panggilan daripada pegawai penyiasat untuk dirakam keterangan di IPD Sentul, jam 2 petang, esok (hari ini).
“Farhan pula (dirakam keterangan) di IPD Putrajaya, jam 10 pagi, hari sama,” katanya melalui Twitter hari ini.
Sementara itu, memetik Utusan Online, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, kes itu disiasat oleh IPD Muar, Johor.
“Pegawai penyiasat sudah membuat janji temu dengan kedua-dua individu itu untuk merakam keterangan mereka.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya, hari ini.
Pada 17 Oktober tahun lalu, media melaporkan ceramah Muda dicemari insiden provokasi sekumpulan lelaki berbaju hitam dalam kejadian di Muar, Johor.
Dua klip video tular masing-masing berdurasi satu minit 31 saat dan 45 saat memperlihat sekumpulan lelaki bermotosikal yang mengganggu ceramah Muda. – Malaysiapost

