BENCANA banjir di Rompin telah mengakibatkan 286 mangsa daripada 84 keluarga terpaksa mendapatkan perlindungan di empat pusat pemindahan sementara (PPS).
Berdasarkan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa itu adalah yang terkini setakat 8 pagi tadi dengan penambahan berbanding 88 mangsa daripada 26 keluarga, petang semalam.
Daripada jumlah itu, 122 mangsa berada di PPS Balai Raya Rekoh, 117 mangsa pula di PPS Kampung Setajam, 40 mangsa pula di Balai Raya Bukit Lepas manakala tujuh mangsa pula di Balai Raya Bandar Perwira Jaya.
Difahamkan, hujan lebat berterusan sejak kelmarin menyebabkan kawasan mereka ditenggelami air.
Maklumat dalam laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula menunjukkan paras Sungai Keratong di Jambatan Bahau Keratong, Rompin melepasi paras bahaya pada jam 7.45 pagi.
Paras Sungai Keratong itu merekodkan bacaan 24.74 meter berbanding paras bahaya ditetapkan ialah 23 meter.
Lima sungai pula merekodkan bacaan melepasi paras waspada iaitu di Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera.
Selain itu, paras Sungai Kundang di Jambatan Sungai Kundang dan Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran serta Sungai Belat di Seri Damai.
Sementara itu, memetik BH, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman menasihati penduduk yang berada di kawasan rendah berwaspada dan mengikut arahan apabila diarahkan berpindah.
“Daripada segi persediaan, APM bersiap siaga dalam usaha membantu penduduk berpindah ke PPS,” katanya. – Malaysiapost
Foto Kredit: Polis Daerah Rompin

