
JANGKAAN dan ramalan awal kebanyakan pakar ekonomi bahawa tahun 2023 menyaksikan permulaan kepada kemelesetan ekonomi dunia bakal menjadi kenyataan.
Minggu ini, dunia menyaksikan seramai 12,000 orang pekerja dari Syarikat Google diberhentikan kerja dalam kesiapsagaan mendepani kemelesetan ekonomi dunia.
Seramai 18,000 orang pekerja pula diberhentikan oleh Syarikat Amazon dan 10,000 orang pekerja diberhentikan oleh syarikat Microsoft. Terbaru, syarikat permotoran Ford memberhentikan 3,000 orang pekerja dari Eropah dan Jerman.
Keadaan ekonomi sebegini menunjukkan negara kuasa besar sudah menerima tempias kemelesetan ekonomi. Ini bermakna, negara kita Malaysia bakal berdepan situasi sama tidak lama lagi.
Oleh itu, Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menyeru kerajaan bertindak pantas dalam mengekang situasi buruk itu daripada menimpa negara kita.
Pertama, DPIM menyeru kerajaan untuk memperkasa sektor keusahawanan secepat mungkin agar rakyat dapat menjana pendapatan sendiri di samping membukan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Kedua, DPIM menyeru kerajaan untuk mempercepatkan pelan sekuriti makanan negara atau “food security” bagi mengelakkan berlakunya kebergantungan kepada makanan asas import.
Ketiga, DPIM menyeru kerajaan untuk mengawal harga barangan asas bagi mengelakkan kenaikan harga barangan secara mendadak.
Benar bahawa harga dikawal oleh penawaran dan permintaan atau “supply and demand”. Namun, ia di luar kawalan kita dek kerana pasaran antarabangsa yang terbuka. Kerajaan sepatutnya mengawal perkara yang berada dalam kawalan kita, seperti tiga perkara yang telah dicadangkan oleh DPIM.
Bank Negara Malaysia (BNM) juga perlu mengekalkan OPR dalam tempoh terdekat dan tidak terpaksa menaikkan lagi OPR seiring dengan negara lain apabila Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) yang terus menaikkan kadar faedah pada tahun ini. Inflasi di Malaysia dipengaruhi oleh subsidi yang diberikan oleh kerajaan dan penetapan harga siling barangan keperluan asas.
Inflasi negara kita boleh dikurangkan dengan cara mengurangkan pergantungan kepada barang-barang import, seterusnya bergantung kepada produk tempatan. Dengan cara ini, ringgit dapat diperkukuhkan di samping tidak menaikkan lagi OPR.
DPIM telah memberikan formula baharu kepada kerajaan dan Menteri berkaitan. Janganlah asyik mahu memulaukan ayam dek harga ayam naik, atau memulaukan makan di restoran dek harga makanan naik.
Formula memulaukan barangan tidak akan berhasil. Berpijaklah kepada realiti dan bertindak pantas dengan menggunakan formula ekonomi yang dicadangkan DPIM, demi kesejahteraan Malaysia.
.
Shahir Adnan
Penulis ialah Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) merangkap Pengerusi IKATAN Negeri Kelantan
(Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis, tidak semestinya menggambarkan pendirian Malaysiapost)
