JOHOR terus mencatatkan peningkatan mangsa banjir dengan jumlah terkini seramai 5,000 orang daripada 1,390 keluarga ditempatkan di 51 pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga jam 10 malam ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, jumlah itu semakin bertambah berbanding dengan 4,368 mangsa banjir membabitkan 1,218 keluarga yang ditempatkan di 45 PPS pada jam 8 malam.
“Pontian menjadi daerah terbaharu dilanda banjir di negeri ini selepas sebuah PPS dibuka pada jam 5.35 petang tadi.
“Seramai 18 mangsa banjir membabitkan empat keluarga dari Kampung Melayu Raya ditempatkan di PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, dengan perkembangan terbaharu itu menjadikan Pontian daerah ketujuh dilanda banjir di negeri ini.
Menurutnya, Segamat masih mencatatkan bilangan mangsa banjir paling ramai dengan 1,784 orang daripada 501 keluarga di 20 PPS.
Katanya, ia diikuti di Kluang melibatkan 1,239 orang daripada 358 keluarga yang ditempatkan di 12 PPS.
Azmi berkata, Mersing pula mencatatkan peningkatan 851 orang membabitkan 258 keluarga di lima PPS manakala bilangan mangsa di Kota Tinggi pula menempatkan 706 mangsa banjir membabitkan 169 keluarga di enam PPS.
Di Muar pula, katanya, jumlah mangsa mencatatkan seramai 206 orang membabitkan 46 keluarga di tiga PPS sementara di Batu Pahat mencatat 196 orang daripada 54 keluarga yang ditempatkan di empat PPS. – Malaysiapost

