Ebit Lew hantar 2 lori air bantu penduduk terjejas bekalan air

0
2

SEDIH melihat orang ramai terkesan kerana masalah bekalan air mendorong pendakwah bebas, Ebit Lew menghantar dua lori besar air untuk diagihkan.

Menerusi perkongsian di media sosial, Ebit memaklumkan sejak jam 10 malam tadi beliau keluar mengagihkan air di sekitar pinggiran Batu Caves, Selangor.

“Bila saya tengok rumah saya tiada air. Saya cepat-cepat belikan air mineral untuk anak-anak. Saya fikir macam manalah orang di luar sana.

“Ya Allah. Sekali tengok orang beratur. Paling sayu pakcik makcik tua-tua nak air. Ada yang saya minta pembantu saya bantu angkatkan.

“Ada adik kecil-kecil sangat datang ambil air. Untuk masak dan minum agaknya. Ya Allah,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut mendoakan isu bekalan air yang melanda Selangor serta negeri-negeri lain dapat berakhir.

“Bantulah semua negeri-negeri yang ada masalah air permudahkanlah ya Allah. Bukalah jalan buat kami semua,” katanya.

Ebit juga memaklumkan terdapat beberapa pihak lain seperti pusat dialisis dan klinik memerlukan bantuan mengatasi masalah bekalan air dan beliau akan cuba membantu.

Semalam, dilaporkan lebih 1.1 juta akaun pengguna di tujuh wilayah mengalami gangguan bekalan air berikutan penutupan empat Loji Rawatan Air (LRA) akibat pencemaran di Sungai Selangor.

Gangguan air tidak berjadual itu membabitkan 1,196,457 akaun merangkumi 1,292 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang dan Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor serta Kuala Langat. – Malaysiapost