Nak pinjam RM10,000 rugi lebih RM100,000

0
1

MAHU pinjam RM10,000 tetapi rugi RM105,461. Itulah yang dihadapi seorang guru wanita apabila berputih mata akibat terpedaya dengan sindiket menawarkan pinjaman wang di Facebook.

Ia selepas mangsa yang berusia 36 tahun melakukan 30 pemindahan wang bagi meminjam RM10,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani, berkata pada 24 Ogos, mangsa melayari Facebook sebelum melihat satu pautan menawarkan pinjaman wang.

Beliau berkata, dia kemudiannya bersetuju untuk meminjam RM10,000 dan menghantar salinan MyKad dan slip gaji kepada dua individu.

“Tidak lama selepas itu, mangsa diberitahu pinjaman diluluskan, namun dia perlu membuat bayaran bagi duti setem, bayaran kewangan, yuran pemprosesan, yuran perjanjian dan internet.

“Mangsa kemudian membayaran melalui dalam talian kepada 12 akaun bank berbeza sebanyak 30 kali tranksaksi berjumlah RM105,461,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun rasa tertipu kerana individu terbabit sering meminta memasukkan wang.

“Dia kemudian tampil membuat laporan polis di Balai Polis Bahau, semalam,” katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – Malaysiapost