Hampir 5,000 penduduk dipindah akibat banjir

0
3

MANGSA banjir di tiga negeri yang terjejas kini seramai hampir 5,000 orang dengan merekodkan peningkatan berbanding 4,195 mangsa setakat jam 12 tengah hari tadi.

Berdasarkan laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), jumlah keseluruhan mangsa banjir di Johor, Pahang dan Sabah setakat jam 4 petang tadi adalah seramai 4,996 mangsa.

Jumlah itu membabitkan 1,359 keluarga yang ditempatkan di 55 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sembilan daerah yang terjejas.

Muar daerah terbaharu di Johor yang dilanda banjir

Menurut laporan itu, Johor mencatatkan 4,382 mangsa daripada 1,218 keluarga di enam daerah yang terjejas iaitu Segamat (1,522 mangsa), Kluang (1,222 mangsa), Mersing (707 mangsa), Kota Tinggi (591 mangsa), Batu Pahat (134 mangsa) dan daerah terbaharu yang dilanda banjir Muar (206 mangsa).

Sabah pula merekodkan seramai 607 mangsa daripada 139 keluarga di Kudat (381 mangsa) dan Pitas (226 mangsa).

Manakala di Pahang keadaan dilaporkan tidak berubah dengan hanya tujuh mangsa daripada dua keluarga yang dipindahkan di daerah Rompin.

Berdasarkan laporan berkenaan, setakat ini tiada laporan kematian yang berlaku susulan bencana yang melanda di ketiga-tiga negeri terbabit. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here