Tengku Zafrul bertanding PRN Selangor?

0
2

MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dikatakan antara nama yang bakal dicalonkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor akan datang.

Menurut sumber, bekas Menteri Kewangan itu kemungkinan akan bertanding salah satu Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Kota Raja.

“Memang ada perbincangan untuk membawa Tengku Zafrul ke salah satu DUN di Parlimen Kota Raja.

“Dia telah pun memindah keahlian Umno ke bahagian Kota Raja bulan lepas tetapi bertanding di DUN mana itu keputusan ‘top level’,” katanya dipetik laporan Malaysiakini.

Menurut satu lagi sumber, nama Tengku Zafrul telah disenarai pendek untuk bertanding sama ada di DUN Sungai Kandis atau Kota Kemuning.

“DUN Sungai Kandis memang secara tradisi ditandingi Umno manakala DUN Kota Kemuning dibentuk selepas persempadanan semula pada 2018 ditandingi Gerakan mewakili Barisan Nasional (BN).

“Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kedua-dua DUN itu dimenangi Pakatan Harapan (PH). Jadi, saya percaya kena ada perbincangan di peringkat tertinggi BN dan PH untuk memberi laluan kepada Umno pada kali ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Kota Raja, Datuk Kamaruzzaman Johari mengesahkan Tengku Zafrul sudah menjadi ahli di Kota Raja.

“Saya boleh mengesahkan dia menjadi ahli di Kota Raja dan telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) di peringkat bahagian.

“Bagaimanapun, saya tidak boleh komen sama ada dia akan bertanding di DUN ini kerana ia adalah keputusan pucuk pimpinan parti,” katanya.

Pada PRU15, Tengku Zafrul bertanding di Parlimen Kuala Selangor tetapi tewas kepada calon PH, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Tengku Zafrul kemudian dilantik sebagai menteri dalam Kabinet pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here