Subang Jaya kini diisytihar bandar raya

0
2

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengisytihar dan menetapkan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menjadi Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mulai hari ini.

Sultan Sharafuddin menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Selangor bertitah, baginda mengisytiharkan dan menetapkan Majlis Perbandaran Subang Jaya sebagai bandar raya mulai 20 Oktober ini.

“Subang Jaya menjadi sebuah bandar raya buat selama-lamanya dan hendaklah disebut sebagai Majlis Bandaraya Subang Jaya.

“Oleh yang demikian, gelaran Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya hendaklah ditafsirkan sebagai Datuk Bandar Subang Jaya.

“Ahli-Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya, hendaklah ditafsirkan sebagai Ahli-Ahli Majlis Bandaraya Subang Jaya,” titahnya.

Majlis pengisytiharan ini sepatutnya diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat sedang dilaksanakan, baginda perkenan mengisytiharkan Majlis Bandaraya Subang Jaya melalui media massa atau secara maya.

Majlis Bandaraya Subang Jaya ditubuhkan mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) di bawah seksyen 4. – Malaysiapost