Covid-19 : ILKKM dan PKKN diaktifkan semula

0
3

INSTITUT Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sungai Buloh dan Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) diaktifkan semula sebagai Pusat Rawatan dan Kuarantin Berisiko Rendah (PKRC) bagi menampung peningkatan pesakit Covid-19.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata ia susulan peningkatan kes positif Covid-19 khususnya di Selangor yang memerlukan kesiapsiagaan rapi.

“Ia bagi menampung pesakit dari Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan negeri berhampiran.

“Kes-kes Covid-19 yang di tahap satu dan dua, tiga (berisiko rendah) diletakkan di ILKKM serta PKKN Sungai Buloh, manakala bagi pesakit di tahap empat dan lima (kritikal) diletakkan di Hospital Sungai Buloh yang telah diwartakan sebagai hopsital Covid-19.

“Sehingga hari ini, terdapat 274 pesakit positif Covid-19 ditempatkan di Hospital Sungai Buloh manakala CPRC (Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara) di ILKKM dan PKKN masing-masing seramai 44 dan 411 pesakit positif Covid-19 menerima rawatan di kedua-dua pusat itu,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Beliau berkata, ILKKM dan PKKN boleh menampung 1,200 pesakit serta kementerian juga telah menambah jumlah kakitangan perubatan daripada pelbagai peringkat sebagai persediaan awal.

Mengenai cadangan supaya Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan di sesetengah kawasan di Selangor, Dr Adham, berkata pihaknya sedang melihat perkara itu termasuk menilai sekiranya terdapat kawasan tertentu dengan jumlah kes yang tinggi.

“Selangor sekarang berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), sekiranya ada pertambahan kes dan kawasan tertentu yang kita nilaikan risiko tinggi, kita akan cadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membuat keputusan.

“Sudah tentu MKN akan melihat risiko yang perlu diatasi dan mendapatkan langkah-langkah tepat dan terbaik sebelum ia dilaksanakan,” katanya.

Dr Adham turut memaklumkan, sehingga kini Kementerian Kesihatan menempatkan 1,634 petugas kesihatan yang baharu di tempat-tempat yang memerlukan di seluruh negara untuk merawat pesakit Covid-19. – Malaysiapost