Abdul Hadi ada masalah kemurungan politik melampau – Nur Jazlan

0
3

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Nur Jazlan Mohamed mendakwa Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang kini mengalami masalah psikologi kerana berterusan mencampuri urusan Kerajaan Perpaduan.

Susulan itu beliau meminta rakan dalam Perikatan Nasional (PN) melakukan sesuatu supaya masalah psikologi dihadapi tidak berlarutan atau menjadi lebih kronik.

Menurutnya, mereka perlu menyedarkan Ahli Parlimen Marang itu supaya banyak mengucap dan terima hakikat bahawa PN gagal jadi kerajaan walaupun menang banyak kerusi.

Timbalan Pengerusi Umno Johor itu turut melahirkan kebimbangan apabila bekas Duta Khas ke Timur Tengah itu semakin hilang kawalan untuk berfikir secara waras sehingga menjejaskan imejnya sebagai ‘pak lebai’.

“Saya syak Presiden PAS mengalami masalah kemurungan politik melampau sebab itulah dia masih duduk, merapu, meroyan dan sibuk nak campur urusan penubuhan Kerajaan Perpaduan. Dia ini masih tak berhenti-henti bercakap macam masih tak boleh terima takdir Allah.

“Malah seperti biasa, Abdul Hadi cukup popular dengan siri fatwa-fatwa politik yang hanya memberi keuntungan kepada partinya saja. Bila orang buat salah, tapi bila dia buat terus ada dalil untuk menghalalkan semuanya termasuklah yang haram boleh dihalalkan asalkan memberi laba kepada Abdul Hadi dan PAS.

“Baru saja tiga hari lepas Abdul Hadi keluarkan fatwa baharu. Sogok duit kepada pengundi tak dikira rasuah sebaliknya, kalau ikutkan hukum Fikah Haji Hadi, ia dianggap sebagai sedekah. Abdul Hadi menghalalkan wang rasuah undi untuk beli undi dan bukan satu dosa besar,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Menurut Nur Jazlan, Abdul Hadi mengeluarkan fatwa baharu selepas Barisan Nasional (BN) memfailkan petisyen mencabar keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di tiga Parlimen termasuk Marang yang dimenanginya.

“Abdul Hadi jadi panas bontot dan tak senang duduk kerana dia tahu bala besar akan menimpa dirinya. Tak mustahil dia pula akan jadi kluster mahkamah seperti yang selalu tuduh pemimpin Umno,” katanya.

Beliau turut mengimbau kerjasama PAS dengan DAP , yang mana ketika itu Abdul Hadi memuji parti itu.

“DAP parti tak rasis, DAP tak tolak Islam, PKR parti terbaik pesaing Umno dan macam-macam lagi kata-kata pujian ketika asyik bercinta dan kahwin.

“Selepas bercerai dengan DAP dan PKR, Abdul Hadi terus memburuk-burukkan bekas pasangan mereka itu dengan macam-macam tuduhan.

“Begitu juga dengan Umno. Selepas PRU14, Abdul Hadi puji melambung pemimpin Umno sebab nak bergabung tubuhkan Muafakat Nasional (MN). Malah, Abdul Hadi juga pernah beri pujian kepada Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid,” katanya.

Namun, katanya, apabila hubungan PAS dan Umno gagal diteruskan dalam MN, parti itu terus bertukar perwatakan, malah Abdul Hadi sendiri pusing 180 darjah dan mula mencaci serta mencerca Umno serta pemimpinnya.

“Lepas PRU15, dia kutuk pula Umno sebab bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) tubuhkan Kerajaan Perpaduan kononnya kerajaan itu tak ikut peraturan Allah dan haram,” katanya.

Sebaliknya, Nur Jazlan menjelaskan, Kerajaan Perpaduan hari ini berjaya dibentuk apabila DAP bersetuju menerima agenda mempertahankan Islam, Melayu dan Institusi Raja yang disyaratkan Umno.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga melantik ramai menteri dan timbalan menteri dalam kalangan Melayu Islam dalam Kabinet demi menunjukkan kekuatan sejati Melayu Islam di Malaysia.

“DAP juga bertolak ansur untuk terima kuota menteri dan timbalan yang kecil jika dibandingkan dengan jumlah kerusi yang mereka menangi

“Sudah-sudahlah Abdul Hadi..move on lah. Rakyat pun sudah meluat dengar kamu duduk meratib konsep pembentukan Kerajaan Perpaduan. Dah nak masuk tiga bulan dah Malaysia sudah ada kerajaan yang stabil dan kukuh, tak usahlah kamu nak jadi batu api.

“Buatlah kerja sebagai pembangkang dengan baik dan cuba bantu kerajaan untuk bagi idea lebih baik daripada asyik duduk berpolitik 24 jam,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here