PENJELASAN Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa memberi wang kepada pengundi pilihan raya adalah sedekah dan bukannya rasuah, hanyalah untuk pengikut parti itu sahaja.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata paling utama Abdul Hadi sendiri mengaku secara terbuka PAS memberi ‘sedekah’ tersebut dalam bentuk tunai.
“Kita terima sajalah fatwa Ustaz Hadi bahawa sogokan PAS kepada pengundi adalah sedekah bukan rasuah.
“Apa yang penting, PAS mengaku secara terbuka parti itu bagi sedekah dalam bentuk tunai. Niatnya jelas iaitu untuk dapat undi. Buktinya ialah ada lafaz “wallahi undi PAS”.
“Cuma pada PAS rasuah ialah sedekah. Sama juga dengan ‘royalti dan wang ehsan” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Mohd Puad berkata, pada pengikut PAS wang ehsan bukan royalti, tetapi bagi kerajaan royalty dan wang ehsan adalah perkara yang sama.
“PAS ambil wang ehsan itu. Bermakna PAS terima royalti,” ujarnya.
Beliau juga menempelak PAS kerana menggunakan kamus yang pelik berbeza dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
“Perkataan berbeza tetapi makna sama. PAS guna perkataan sedekah. PAS bagi sedekah besar besaran. PAS menang besar. Menang kerana rasuah,” katanya.
Abdul Hadi sebelum ini menyifatkan pemberian wang tunai sewaktu kempen pilihan raya tidak menyalahi peraturan kerana ia hanyalah sedekah kepada pengundi oleh orang awam.
Katanya, undang-undang telah menetapkan bahawa setiap calon dan wakil calon tidak boleh memberi wang ketika berkempen. – Malaysiapost

