JABATAN Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat dalam tempoh 24 jam di enam negeri di Semenanjung.
JPS dalam kenyataan, berkata negeri yang berisiko terlibat berlaku bencana banjir ialah Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, dan Selangor.
Menurut kenyataan itu, di Johor daerah yang berisiko adalah Pontian, Kota Tinggi, Muar, Pontian, Kluang, dan Tangkak.
“Di Melaka, daerah yang berisiko adalah Melaka Tengah sahaja, manakala di Negeri Sembilan melibatkan kawasan Port Dickson.
“Daerah-daerah di Pahang pula yang berisiko adalah Bera, Maran, dan Temerloh manakala di Perak adalah Perak Tengah,” menurut kenyataan itu di Facebook, hari ini,
JPS berkata, di Selangor kawasan yang berisiko termasuklah Klang, Petaling, Kuala Langat, dan Kuala Selangor.
Sementara itu, JPS berkata, notis tersebut dikeluarkan berdasarkan maklumat ramalan hujan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, sistem Southeastern Asia-Oceania Flash Flood Guidance System (SAOFFGS) dan model ramalan banjir JPS Malaysia.
“Notis dikeluarkan apabila terdapat risiko kejadian banjir kilat di beberapa lokasi sekiranya hujan lebat atau ribut petir yang signifikan berlaku.
“Ia juga bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan yang berisiko untuk berwaspada dengan sebarang kemungkinan berlakunya banjir kilat bagi tempoh tersebut,” katanya.
Orang ramai diminta patuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir. Layari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir untuk maklumat lanjut dari semasa ke semasa. – Malaysiapost

