PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas fahaman setengah pihak yang menggunakan istilah ‘sedekah’ sebagai sesuatu pemberian bagi meraih undi dalam pilihan raya.
Sebaliknya, beliau menyifatkan tindakan itu sebagai satu perbuatan berbentuk rasuah kepada pengundi.
“Macam sebelum ini dalam ucapan saya sebut komisen okey, corruption (rasuah) no. Sekarang ada pulak sedekah okey.
“Sedekah sebagai amal jariah okey tetapi sedekah untuk mendapat undi pilihan raya itu corruption (rasuah).
“Ini fahaman yang boleh merugikan negara dan masyarakat,” katanya memetik Malaysia Gazette.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan pemberian wang tunai sewaktu kempen pilihan raya oleh individu bukan calon tidak menyalahi peraturan kerana ia hanya sedekah kepada pengundi oleh orang awam.
Katanya, pemberian terbabit dikatakan hak orang awam yang ingin memberikan sumbangan.
Beliau berkata, undang-undang juga telah menetapkan bahawa setiap calon dan wakil calon tidak boleh memberi wang ketika berkempen. – Malaysiapost

