Tindakan bakar al-Quran salah guna prinsip kebebasan bersuara

0
2
Mohd Na’im Mokhtar

TINDAKAN biadap pemimpin politik Sweden Rasmus Paludan membakar naskah al-Quran perlu dibantah kerana menyalahgunakan prinsip kebebasan bersuara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, turut menggesa pemerintah Sweden mengambil tindakan tegas terhadap perbuatan provokatif tersebut yang bertujuan untuk mewujudkan ketidaktenteraman masyarakat dunia.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga menyeru seluruh masyarakat menghormati kemuliaan agama Islam, membudayakan dialog dan menyemarakkan nilai-nilai kehormatan sejagat bagi mewujudkan keharmonian hidup masyarakat dunia hari ini.

“Kenyataan tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ahli politik Sweden itu juga telah membuktikan kesungguhan Malaysia untuk menentang sebarang bentuk keganasan dan kebencian khususnya Islamofobia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri dilaporkan menggesa kerajaan Sweden, mengenakan tindakan segera terhadap pelaku yang bertanggungjawab melakukan perbuatan membakar kitab al-Quran disamping mengambil langkah drastik terhadap peningkatan Islamophobia di negara itu.

Katanya, perbuatan itu satu penghinaan terang-terangan terhadap kitab suci umat Islam dan ketiadaan sebarang tindakan terhadap kelakuan Islamofobia tersebut merupakan satu provokasi melampau kepada sensitiviti bukan sahaja Turkiye, tetapi lebih daripada dua bilion Muslim di seluruh dunia.

Tindakan Paludan iaitu pemimpin politik sayap kanan Sweden-Denmark, membakar kitab suci al-Quran di Stockholm, Sweden mencetuskan kemarahan dan bantahan umat Islam.

Paludan membakar kitab suci itu di bawah perlindungan polis dekat Kedutaan Turkiye di bandar raya tersebut.

Dia bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun itu berbuat demikian selepas Turkiye dilaporkan membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here