Sultan Selangor dukacita masalah air di Selangor

0
3
royal selangor office

Fitri Nizam

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj amat berdukita susulan gangguan bekalan air yang terus membelenggu negeri itu ketika rakyat sedang berdepan wabak Covid-19.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Muhamad Munir Bani, berkata Sultan Selangor telah banyak kali menulis surat kepada kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri berhubung isu bekalan air sejak tahun 2010.

Dalam surat Baginda itu, Sultan Selangor bertitah supaya masalah air di negeri ini usah dipolitikkan dan diatasi dengan segera kerana ia merupakan keperluan asas kehidupan rakyat.

“Surat Baginda yang terkini mengenai isu gangguan bekalan air telah dihantar kepada Menteri Besar Selangor bertarikh 8 September 2020.

“Dalam surat tersebut, Baginda telah memberikan nasihat serta beberapa syor dan pandangan untuk mengatasi masalah bekalan air bersih tetapi nampaknya ia tidak memberi kesan kerana masalah yang sama masih terus berlaku dan berulang sehingga menyusahkan rakyat yang Baginda kasihi,” katanya.

Beliau berkata, demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Sementara itu, Sultan Selangor turut menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes baharu positif Covid-19 di Negeri Selangor khususnya dan di Malaysia amnya, yang telah mencapai jumlah tertinggi sejak bulan Mac 2020.

“Susulan perkembangan terbaharu ini, Baginda menyeru rakyat agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tidak ingkar dengan arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Nasional (MKN).

“Sultan Selangor amat menghargai usaha para doktor dan jururawat serta petugas barisan hadapan yang bersungguh-sungguh untuk memberi rawatan kepada pesakit-pesakit Covid-19.

“Oleh yang demikian, janganlah membebankan petugas barisan hadapan kerana Baginda mendapat tahu terdapat ramai rakyat yang masih tidak mematuhi arahan dan melanggar SOP yang telah ditetapkan,” katanya. -Malaysiapost

Foto Kredit: Royal Selangor Office