Selesai tempoh kuaratin, PM kembali ke pejabat

0
2

Nurul Huda Abhar

PERDANA Menteri, Tan Sri Muyiddin Yassin kembali ke pejabat setelah selesai menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari di rumah yang berakhir Jumaat lalu.

Sepanjang tempoh kuarantin, beliau tetap menjalankan tugas rasmi dari rumah antaranya mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan Covis-19 setiap hari bermula 7 Oktober, menerusi sidang video.

Menerusi kenyataan di laman Facebook rasminya, Muhyiddin memulakan tugas dengan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC), khusus membincangkan mengenai kesan pandemik Covid-19 terhadap ekonomi negeri Johor, hari ini.

“Antara yang dibincangkan, cadangan penubuhan pasukan petugas khas bagi mengumpul data dan statistik rakyat Johor yang bekerja di Singapura.

“Mesyuarat juga menyentuh mengenai keperluan membuka semula sempadan Johor dan Singapura, antara lain bagi melonjakkan semula aktiviti ekonomi yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya hari ini.

Mesyuarat yang diadakan secara sidang video itu disertai oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Turut terlibat Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad serta pegawai-pegawai kanan daripada Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri Johor (BPENJ).

Selain itu, katanya, turut dibincangkan adalah permohonan pembiayaan oleh Kerajaan Negeri Johor bagi menghidupkan semula industri pelancongan susulan penularan wabak Covid-19 yang memberi kesan besar kepada sektor tersebut.

Seterusnya, Muhyiddin mempengerusikan Sidang Khas MKN bagi membincangkan situasi terkini jangkitan Covid-19 di dalam negara.

“Pelbagai isu dibincangkan termasuk mengenai status jangkitan Covid-19 di Sabah dan Lembah Klang, pengukuhan tindakan mengawal penularan jangkitan dan keupayaan semasa kesihatan awam negara.

“Kesemua perkara akan diteliti semula dalam Mesyuarat Khas Teknikal Menteri berhubung Perintah Kawalan Pergerakan sebelum diputuskan,” katanya. -Malaysiapost