BIARPUN ‘label’ samseng kerap ditujukan kepada Sharnaaz Ahmad, namun pelakon itu tidak mahu mengambil pusing tanggapan segelintir netizen selepas namanya kembali menjadi perbualan kerana didakwa di mahkamah, baru-baru ini.
Pemilik nama sebenar Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, 37, itu dituduh di mahkamah melibatkan pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki di sebuah kondominium, Jun tahun lalu.
Menerusi ciapan di Twitter, Sharnaaz membalas salah satu komen pengguna laman itu yang menegurnya agar lebih berhati-hati dalam perbuatan.
“Sebagai artis, sepatutnya dia berkelakuan baik agar menjadi contoh dan ikutan sekurang-kurangnya, peminatnya.
“Sharnaaz, awak belum bertemu ruas lagi. Takut nanti awak yang lunyai. Nak samseng pun carilah dengan yang setanding,” tulis Afral Abdullah.

Pelakon siri Juvana itu tampil membalas hantaran terbabit dengan ucapan terima kasih atas teguran namun mempunyai pendirian atas setiap tindakannya.
“Terima kasih atas nasihat. Saya bukan samseng… Saya pun sudah lunyai dengan salah tanggapan orang. Saya okey saja mana-mana pun. Mafia pun okey, popia pun okey. Yang penting, bila dipijak, bangun.
“Itu ayah saya yang ajar. Kita pejuang untuk diri kita sendiri. Itu cara saya,” tulis Sharnaaz.
Sebelum ini, Sharnaaz mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Jenayah, Kuala Lumpur atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki pada Jun lalu.
Pengakuan itu dibuat di hadapan Majistret Atiqah Mohamed@Mohamad Saim selepas pertuduhan terhadapnya dibaca jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, Sharnaaz yang mendiami kondominium sama didakwa menumbuk dan menendang mangsa selepas rakannya hendak menghantar minyak masak dilarang memasuki premis berkenaan oleh pengawal keselamatan di situ.
Sharnaaz dibebaskan dengan ikat jamin RM2,000 oleh seorang penjamin sebelum kes tersebut disebut semula pada 6 Mac depan bagi serahan dokumen. – Malaysiapost

